Lambungan kepada tekong yang tidak konsisten menjadi punca utama kekalahan 1-2 Kelantan Warriors kepada Negeri Sembilan Antlers dalam aksi pembukaan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw ( STL) di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru semalam.

Warriors, yang menurunkan tekong import terbaik STL, Apirak Promanee, tumpas mudah dalam set pertama sebelum ketua jurulatih, Awi Awang, membuat keputusan untuk membawa masuk tekong negara yang beraksi dalam Sukan SEA Filipina, Ahmat Aizat Azmi.

Aizat mengheret Antlers ke set penentuan, namun beberapa kesilapan dalam servis permulaan menyebabkan Warriors berputih mata untuk kalah 21-19.

Pengurus Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, mahu pemainnya cepat melupakan kekalahan mengejut itu dan bangkit memburu kemenangan ke atas juara STL, Perak Bison, hari ini.

"Kami perlu menang ke atas Bison untuk membuka semula peluang ke separuh akhir.

"Mereka (Bison) berada dalam motivasi terbaik selepas mudah mengalahkan Singapore Lions 2-0 malam tadi.

"Kami juga gembira dengan aksi terbaik apit kanan import, Wutthikai Rattanasut, yang cepat menyesuaikan diri dan mampu menghasilkan pukulan untuk melemahkan pertahanan lawan," katanya.

Kredit Foto: STL