Selepas menunaikan janji menumbangkan Singapore Lions 2-0, Kelantan Warriors mahu meneruskan momentum kemenangan dengan mengalahkan Korea Haechi dalam saingan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru hari ini.

Dalam aksi malam tadi, Warriors yang menurunkan tekong terbaik STL, Aizat Azmi, untuk bergandingan bersama pelibas import, Wutthikai Rattanasut dan Aidil Aiman Azwawi, mudah mengalahkan Lions 21-17, 21-14 dalam masa 37 minit.

Pengurus Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, gembira dengan peningkatan aksi pemainnya sambil mengingatkan kepentingan perlawanan terakhir kumpulan menentang pasukan undangan, Korea Haechi.

"Alhamdulillah, hajat kami untuk menang straight set ke atas Lions tercapai dan hari ini kami akan berdepan satu lagi halangan sukar.

"Haechi turun dengan pemain terbaik mereka dan sudah membuktikan kehebatan apabila menewaskan Antlers 2-1 sebelum tumpas kepada Perak Bison dengan keputusan yang sama.

"Ini perlawanan wajib menang untuk Warriors dan jurulatih (Awi Awang) akan mempertaruhkan strategi terbaik untuk mengejutkan Haechi," katanya.

Warriors juga dijangka mengekalkan trio Aizat-Wutthikai-Aidil untuk memburu kemenangan kedua sambil mengintai peluang ke separuh akhir.

"Kami mahu menamatkan aksi Kumpulan A dengan kemenangan dan sedar perlu kukuhkan pertahanan jika mahu menyaingi kehebatan regu kebangsaan Korea ini.

"Kami perlu berusaha keras untuk memenangi set pertama dahulu sambil tingkatkan serangan untuk mengucar-kacirkan permainan lawan," ujarnya.

Untuk rekod, Warriors berada di tangga keempat Kumpulan A dengan dua mata hasil daripada sekali menang dan dua kali tewas.

Kredit Foto: STL