Selepas sekadar menduduki tangga keempat Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, Perak Bison melaungkan amaran mahu kembali bangkit menjadi pencabar kejuaraan dalam Piala Juara-Juara STL yang akan berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya, Jumaat ini.

Mengekalkan senarai pemain yang ada, Perak Bison yakin mereka mampu mengejutkan pasukan pilihan untuk melangkah lebih jauh dalam saingan kali ini.

Ketua jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, yakin prestasi terbaik yang ditunjukkan anak buahnya, terutama dalam dua minggu akhir STL, cukup menggembirakan.

"Alhamdulillah, pemain bangkit tepat pada masanya dan kami beraksi cemerlang sehingga mampu menduduki tangga keempat carta STL.

"Biarpun gagal menjadi tiga pasukan terbaik, kejayaan layak ke Piala Juara-Juara cukup membanggakan. Kami akan lakukan yang terbaik," katanya.

Ismi yang berjaya membawa Perak menjuarai Piala Emas Khir Johari (PEKJ), di Kota Bharu, Julai lalu, mahu pemainnya fokus untuk menghadapi tiga perlawanan dalam liga Kumpulan B dahulu.

"Kami beri fokus kepada satu perlawanan kepada satu perlawanan. Kami akui kumpulan ini cukup mencabar dengan kehadiran naib juara STL, ATM Guardians, dan Johor Tigris.

"Jangan lupa, pendatang baharu, Sabah Mountainers, yang mempunyai kelebihan tersendiri," tambahnya.

Ismi Hissan juga tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada pemain dan berharap mereka menikmati aksi pertama Piala Juara-Juara.

"Kemenangan pertama cukup penting untuk meningkatkan moral pemain."

Untuk rekod, Perak Bison muncul naib juara Piala Juara-Juara STL musim lalu apabila kalah 2-0 kepada Penang Black Panthers.