Perak Bison muncul pasukan pertama layak ke separuh akhir Piala Juara-juara STL yang sedang berlangsung di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru.

Anak buah Ismi Hissan Ismail itu meneruskan rentak cemerlang apabila mengatasi Korea Haechi 2-1 untuk mencatat kemenangan ketiganya hari ini.

Hasil kejayaan itu, juara liga Perdana STL itu mendahului Kumpulan A dengan enam mata.

Bagaimanapun, dalam perlawanan tadi, Perak Bison bagaikan bertemu 'buku dengan ruas' apabila terpaksa mengerah segala kudrat untuk mencapai kemenangan dalam pertarungan tiga set selama 82 minit.

Korea Haechi ternyata sukar ditundukkan, menyaksikan mereka berjaya menyaingi regu Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin, Azwan Muhrim dan Fadhil Mustapa dalam set pertama.

Tindakan membawa masuk Nattawhut Naewprom di penghujung set pertama dan kemudian
Amirul Ramadhan Fadzillah Suhaimi dalam set kedua nyata mengubah nasib Bison.

Keberkesanan servis Nattawhut serta rejaman dan tampanan Amirul yang berkesan menyaksikan Bison menang set kedua 22-20.

Skrip sama berterusan dalam set penentuan yang menyaksikan trio Korea Selatan itu mempamer semangat juang kental untuk bersaing sengit hingga mengikat kedudukan beberapa sebelum akhirnya kecundang 21-19 selepas bertarung 33 minit.

Keputusan lain:

PENANG BLACK PANTHERS 2 JOHOR TIGRIS 0
KELANTAN WARRIORS 2 SINGAPORE LIONS 0
ATM GUARDIANS 2 INDONESIA GARUDA 1