Piala Juara-Juara STL: Perak Bison harap permulaan baik 

Oleh Azizan Hashim 20 Disember 2019 606
Piala Juara-Juara STL: Perak Bison harap permulaan baik 
Juara Liga Perdana STL, Perak Bison, berharap membuat permulaan baik apabila membuka kempen Piala Juara-Juara STL 2019 di Iskandar Malaysia Studios, Johor Bahru, Ahad ini. 

Ketua jurulatih, Ismi Hissan Ismail, berharap anak buahnya akan mengusahakan pencapaian terbaik dalam kejohanan yang disertai 10 pasukan itu. 

"Insya-Allah, kami akan berusaha sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik. 

"Saya tidak mahu menjanjikan apa-apa melainkan usaha dan kesungguhan daripada setiap anggota pasukan," katanya sebelum berlepas ke Johor Bahru tadi. 

Bison diundi dalam kumpulan A bersama Kelantan Warriors, Negeri Sembilan Antlers, Korea Haechi dan Singapore Lions. 

Menurut Ismi, perlawanan pertama Bison ialah bertemu Singapore Lions, Ahad ini.

"Insya-Allah kami cuba dapatkan mata penuh sebagai bekalan bagi menyemarak semangat untuk perlawanan seterusnya. 

"Saya yakin dengan pemain saya. Apa yang saya nampak pemain begitu bersungguh-sungguh masa sesi latihan. 

"Saya berharap mereka akan terjemah sikap positif itu dalam perlawanan kelak, "katanya. 

Selaku juara liga, Ismi sedar Perak akan mendapat perhatian dan tumpuan dari pencabar lain dalam kumpulan itu.

Perak menampilkan lima pemain termasuk tekong dari Thailand, Nattawut  Naewprom.  

Empat lagi ialah Muhammad Fadzil Mustapa, Muhammad Azwan Muhrim dan Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi serta seorang lagi tekong, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin. 

Begitupun, dia sedar laluan sukar yang menanti anak buahnya kerana semua pasukan telah membuat persediaan rapi. 

Tambahan pula Singapura membariskan pemain daripada skuad Sukan SEA Filipina, Satu lagi pasukan ialah Indonesia Garuda yang juga diwakili pemain yang beraksi di Filipina. 

"Apapun saya yakin dengan kebolehan dan bakat pemain saya.

"Kami akan fokus perlawanan demi perlawanan dan membuat percaturan berdasarkan lawan ditemui," ujarnya. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen