Piala Juara-Juara STL: Perak Bison akan bangkit

Oleh Azizan Hashim 12 Disember 2018 2486
Piala Juara-Juara STL: Perak Bison akan bangkit
Perak Bison akan kembali lebih padu, mantap dan bertenaga bagi menghadapi cabaran Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) 2019.

Penolong pengurus pasukan, Roaznizam Aziz, berkata kegagalan dalam kempen STL Premier 2018 akan dijadikan pemangkin kebangkitan Bison.

Bison yang pada musim lalu menduduki tempat ketiga STL dan muncul naib juara Piala Juara-Juara, gagal mengulangi pencapaian memberangsangkan itu apabila menduduki tempat keempat liga dan tersingkir awal dalam Piala Juara-Juara selepas menduduki tangga tercorot kumpulan.

Menurut Roaznizam, masalah kecederaan dua tonggak, iaitu perejam, Fadhil Mustapha, dan tekong, Yus Hanif Rosli, dalam saingan Piala Juara-Juara STL menyaksikan mereka tumpas ketiga-tiga perlawanan dalam Kumpulan B untuk ATM Guardians dan Negeri Sembilan Antlers mara ke separuh akhir.

"Kami kurang bernasib baik tahun ini apabila tekong utama, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin, mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi sejak awal.

"Pemain itu, bagaimanapun, sudah pulih dan boleh beraksi.

"Kami akan kaji kelemahan dan kepincangan pasukan dan berusaha memperbaikinya," katanya.

Nizam berkata pemain Bison telah berusaha gigih dalam setiap perlawanan tetapi nyata ia tidak mencukupi untuk menyekat lawan.

"Tiada sebab untuk malu dan kecewa berikutan kegagalan kali ini. 

"Pemain sudah mencuba-sedaya upaya dan telah memberikan yang terbaik," ujarnya.

 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen