Penang Black Panthers muncul juara Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) 2018 setelah membenam ATM Guardians dalam aksi final yang berlangsung sengit di Gem In Mall, Cyberjaya, malam ini.

Kejayaan itu menyaksikan Penang Black Panthers memenangi kejuaraan buat musim kedua berturut-turut, sekali gus melengkapkan kejuaraan berganda setelah terdahulu memenangi kejuaraan STL Premier bulan lalu.

Dalam aksi final yang menemukan dua pasukan terbaik STL Premier itu, ATM Guardians yang terlebih dahulu bermula dengan langkah kanan apabila regu Hairul Hazizi Haidzir, Norfaizzul Razak dan Khairudin Adenan melakar kemenangan 21-17 dalam set pertama.

Tidak cepat melatah, Penang Black Panthers, yang diperkuatkan tekong kebangsaan, Syahir Rosdi, yang bergandingan dengan perejam dari Thailand, Aekkasit Naphom, dan Zaim Razali bangkit dengan permainan lebih kemas untuk menang set kedua 21-17, seterusnya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pertarungan sengit di antara kedua-dua pasukan dinoktahkan dengan Penang Black Panthers melakar kemenangan 21-19 dan sekali gus menafikan impian besar ATM Guardians untuk mencari penawar duka.

Selaku juara, Penang Black Panthers memenangi trofi dan hadiah wang tunai RM25,000 manakala ATM Guardians pula membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.

Lebih manis buat Penang Black Panthers, Syahir dinobatkan sebagai Tekong Terbaik dan juga Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala Juara-Juara STL.

Jurulatih Penang Black Panthers, Helmi Ismail, menyimpulkan: "Sebenarnya, saya tidak menjangka kami dapat mengulangi gelaran berganda sekali lagi, kerana kita tahu intensiti saingan sememangnya cukup tinggi. Semua pasukan datang dengan persiapan rapi dan sasaran awal kami hanya separuh akhir.

"Namun, syukur kami ke final dan kemudian berjaya bangkit selepas tewas set pertama. Mungkin hari ini Syahir tidak berada pada tahap prestasi terbaiknya dengan kami juga banyak melepaskan mata menerusi servis yang tidak begitu menjadi tetapi kami beraksi baik ketika bertahan dan itu yang membezakan kami dan ATM Guardians."

Jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, pula menganggap pasukannya telah melakukan sesuatu yang di luar jangkaan musim ini dengan muncul naib juara berganda.

"Memang kecewa untuk kalah tetapi mengambil kira prestasi sepanjang musim, konsistensi yang telah ditunjukkan dan peningkatan mendadak pasukan ini, ia adalah satu pencapaian yang perlu dikagumi.

"Saya pada mulanya sasarkan untuk sekadar layak ke Piala Juara-Juara STL tetapi kami mara sehingga ke final," kata Aswadi.

Sementara itu, Negeri Sembilan Antlers pula menyambar kedudukan ketiga setelah mudah membenam cabaran Kelantan Warriors dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Regu Niphat Wongprasoet, Syazreenqamar Salehan dan Hafizul Hayazi Adnan memacu juara STL Divisyen Satu itu melakar kemenangan 21-17, 21-8, sekali gus pulang dengan hadiah wang tunai RM7,000.

Hafizul Hayazi turut dinobatkan sebagai apit kanan terbaik.