Final impian peminat sepak takraw negara menjadi kenyataan apabila ATM Guardians dan juara bertahan, Penang Black Panthers, mara ke final selepas menumpaskan lawan masing-masing dalam saingan separuh akhir Piala Juara-Juara STL di Gem In Mall, semalam.

ATM Guardians menempah tiket final dengan menyingkirkan Kelantan Warriors 2-1 (21-10, 14-21, 21-10) manakala Penang Black Panthers selangkah daripada mengulangi pencapaian juara berganda musim lalu apabila menyingkirkan Negeri Sembilan Antlers 2-0 (21-19, 21-17).

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, gembira dengan kejayaan pemainnya melangkah ke final sambil menyifatkan tekanan untuk menjulang kejuaraan akan lebih dirasai juara bertahan, Penang Black Panthers.

"Alhamdulillah, pemain telah memberikan yang terbaik untuk mencipta sejarah mara ke final Piala Juara-Juara STL.

"Kami telah mencapai sasaran awal yang ditetapkan untuk mara ke separuh akhir dan melangkah ke final adalah bonus berganda.

"Tidak ada sebarang tekanan untuk kami, sebaliknya saya yakin Penang Black Panthers pasti merasainya kerana mereka adalah pasukan pilihan dan juara bertahan," katanya.

Ditanya mengenai prestasi tekong gantian, Mohd Najmi Najib, Aswadi yang ditabalkan jurulatih terbaik Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, berpuas hati dengan sumbangan pemain itu sambil tidak menolak kemungkinan untuk mempertaruhkannya, malam ini.

"Najmi beraksi cukup baik dengan variasi servis yang mengelirukan lawan.

"Namun, kami mengharapkan tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, dapat kembali cergas dan mengemudi trio ATM Guardians nanti," katanya.

Untuk rekod, Penang Black Panthers mencipta sejarah muncul juara edisi sulung Piala Juara-Juara STL setelah menumpaskan Perak Bison 2-0 (21-14, 21-15) di Dewan Majlis Perbandaran Serdang Jaya (MPSJ), musim lalu.