Juara Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, Penang Black Panthers, menoktahkan cabaran KL Thunder menerusi kemenangan 2-0 (23-21, 21-6) untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir Piala Juara-Juara STL dalam aksi di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi meraih kemenangan bagi mengiringi Kelantan Warriors ke separuh akhir.

Buat Penang Black Panthers, mereka perlu memenangi perlawanan dengan keputusan straight set bagi memastikan misi itu terlaksana.

Dengan dibarisi trio Syahir Rosdi, Nor Azlan Alias, dan Zaim Razali, Penang Black Panthers seakan-akan sukar menandingi KL Thunder sehingga ada ketika ketinggalan 20-15.

Bagaimanapun, percaturan jurulatih Penang Black Panthers, Helmi Ismail, menggantikan Nor Azlan dengan perejam import daripada Thailand, Aekkasit Naphom, memastikan pasukan itu mengejar perlawanan sebelum meraih kemenangan 23-21.

Dalam set kedua, Aekkhasit terus menjadi duri dalam daging buat KL Thunder apabila dia memastikan setiap umpanan yang diberikan Zaim berjaya diterjemahkan dalam bentuk mata.

Ditambah dengan kesilapan mudah yang disering dilakukan lawan, Penang Black Panthers memutlakkan kemenangan 21-6 untuk mara ke separuh akhir.