Negeri Sembilan Antlers menyambar tiket separuh akhir Piala Juara-Juara STL setelah menewaskan Johor Tigris 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Gem In Mall, Cyberjaya, petang tadi.

Kemenangan itu menyaksikan juara Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen Satu itu menamatkan aksi Kumpulan B di tangga kedua di belakang ATM Guardians yang muncul juara kumpulan setelah melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menundukkan Perak Bison.

Meskipun mara dengan mengetepikan dua pasukan STL Premier, Negeri Sembilan Antlers sememangnya dari awal sudah dilabel berupaya melakar kejutan dalam saingan Piala Juara-Juara STL.

Apatah lagi mereka hadir ke pertandingan itu bukan sahaja dengan membawa pengalaman luas dua bekas pemain kebangsaan, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Syazreen Qamar Salehan, malah turut diperkuatkan tekong dari Thailand, Niphat Wongprasoet.

Di sebalik merehatkan Khairol Zaman dalam aksi menentang Johor Tigris, Negeri Sembilan Antlers masih unggul untuk disaingi dengan servis kencang dan bertenaga Niphat dilihat menjadi senjata utama pasukan itu.

Gandingan Niphat, Syazreen Qamar dan Hafizul Hayazi Adnan tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan mudah 21-15, 21-16 ke atas regu Johor Tigris, Muqlis Borhan, Hairee Haidzir dan Fadzli Roslan.

"Kami bermula dengan kekalahan tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk bangkit lebih kuat selepas itu untuk ke separuh akhir.

"Kami bermain pada potensi sebenar dan memanfaatkan dengan baik setiap kesilapan yang dilakukan lawan.

"Kami sedar bahawa mereka sedikit lemah dalam menyambut bola pertama," kata Syazreen Qamar.

Jurulatih Johor Tigris, Muhamad Ibrahim, berkata pasukannya sedikit dihimpit masalah kecergasan pemain, menyebabkan tidak dapat menurunkan regu terbaik dalam ketiga-tiga perlawanan yang diharungi.

"Dalam STL Premier, gandingan utama kami adalah Noor Azman, Muqlis dan Noraizat Nordin.

"Namun, masalah kecederaan dan kecergasan menyebabkan kami terpaksa menurunkan pemain-pemain berbeza dalam tiga perlawanan dan menjejaskan keserasian di antara pemain.

"Kami menyasarkan separuh akhir tetapi akur cabaran berakhir di sini," katanya.