Laluan mudah dilalui Negeri Sembilan Antlers untuk merekodkan kemenangan dalam penampilan sulung Piala Juara-Juara STL dengan menjinakkan Perak Bison di Gem in Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan ghairah memburu kemenangan menerusi aksi sengit di awal permainan.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan Antlers yang juga juara Divisyen Satu musim ini, lebih menyerlah berbanding Perak Bison.

Penguasaan yang berterusan membantu Negeri Sembilan Antlers memenangi set pertama 21-14.

Menerusi trio Syazreen Qamar Salehan, Niphat Wongprasoet dan Hafizul Hayazi Adnan, Negeri Sembilan Antlers meneruskan kecemerlangan dalam set kedua yang memaksa Perak Bison menelan kekalahan 21-12.

Terdahulu, KL Thunder merekod kemenangan kedua selepas menundukkan Sabah Mountaineers 2-0, petang tadi.

Selepas menewaskan Kelantan Warriors semalam, pasukan kendalian Azhar Sarabini itu memanfaatkan sepenuhnya aksi pincang Sabah Mountaineers.

Tanpa tekong utama, Ahmad Aizat Nor Azmi, KL Thunder tidak berdepan masalah memenangi set pertama 21-15 sebelum memutlakkan kemenangan 21-18 dalam set kedua.

Keputusan lain:
ATM Guardians mn Johor Tigris 2-1 (20-22, 21-14, 21-19)
Kelantan Warriors mn Penang Black Panthers 2-0 (21-14, 21-15)