Negeri Sembilan Antlers gagal meneruskan rentak kemenangan dan terpaksa akur tewas 2-1 kepada pasukan dari Korea Selatan, Korea Haechi, di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru hari ini.

Korea Haechi antara pasukan jemputan yang beraksi dalam Piala Juara-Juara dan ini adalah hari pertama mereka turun ke gelanggang, berdepan Negeri Sembilan Antlers yang mencatat kemenangan dalam aksi pembukaan semalam.

Negeri Sembilan dibarisi Hisyam Mat, Zuleffendi Sumairi dan Hanafiah Dollah sambil Korea Haechi pula dibarisi tekong, Lim Taegyun, Kim Jungman dan Hong Seunghyun.

Negeri Sembilan yang lebih serasi dengan gelanggang menampilkan aksi dominan dalam set pertama dan tidak memberi ruang kepada lawan untuk mengutip mata dan dengan mudah mencatat kemenangan 21-10.

Semakin serasi dan bijak membaca corak permainan lawan, Korea Haechi bangkit dalam set kedua dan memberi saingan sebelum menang 21-12, namun kelebihan akhirnya milik pasukan pelawat 21-15 selepas pertarungan melebihi satu jam.