Kelantan Warriors ingin melupakan kekecewaan dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier musim ini dan mahu menjadikan saingan Piala Juara-Juara STL yang akan membuka tirai di Gem In Mall, Cyberjaya, Jumaat ini, sebagai pentas kebangkitan.

Ketua jurulatih Kelantan Warriors, Mohd Rozlan Ismail, mahu pemainnya terus mempamerkan aksi bersemangat dalam undian yang meletakkan mereka dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Penang Black Panthers, Kuala Lumpur Thunder dan Sabah Mountaineers.

"Kumpulan yang sukar apabila turut disertai juara bertahan, Penang Black Panthers, yang cukup bersemangat untuk mempertahankan kejuaraan selepas mencipta hatrik menjulang STL, musim ini," katanya.

"Namun, Kelantan Warriors akan turun dengan semangat yang tinggi dan berazam untuk mencari kemenangan, sekaligus mampu layak ke peringkat seterusnya," katanya.

Ditanya pemain yang bakal menggalas cabaran skuad Merah Putih itu, Rozlan mengakui akan menggunakan sepenuhnya khidmat pemain Kelantan Warriors yang beraksi baik sepanjang STL berlangsung.

"Kami tidak akan memanggil pemain lain, sebaliknya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan semua pemain Kelantan Warriors.

"Kami telah menjalani latihan intensif mulai semalam dan harap mampu menjadi pencabar terkuat dalam saingan Kumpulan A," katanya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors menduduki tangga keempat dalam Piala Juara-Juara STL musim lalu apabila kalah 2-0 kepada wakil Thailand, Manang City Voyagers.