Piala Juara-Juara STL: Kelantan Warriors mara ke separuh akhir

Oleh Farizal Yusoff 9 Disember 2018 2980
Piala Juara-Juara STL: Kelantan Warriors mara ke separuh akhir
Kelantan Warriors cemas sebelum bangkit menumpaskan Sabah Mountaineers  2-1 (20-22, 21-8, 21-13) dalam aksi mendebarkan dalam saingan Piala Juara-Juara STL di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Kelantan Warriors mengekalkan gandingan Hisyam Mat, Naim Izani Noor dan Aidil Aiman Zawawi yang masih segar daripada mengejutkan Penang Black Panthers 2-0, semalam.

Mereka jelas bersemangat untuk meraih kemenangan dan mengetuk pintu ke separuh akhir.

Sabah Mountaineers yang masih mencari kemenangan pertama pula mempertaruhkan Izwan Zukri (tekong), Jaxon Amputong (apit kanan) dan Daud Ambar (apit kiri).

Dalam set pertama, dua libasan kencang Naim Izani yang terkeluar dari gelanggang membolehkan Sabah Mountaineers menang 22-20, sekaligus memberikan tekanan buat Kelantan Warriors.

Menyedari kemenangan cukup penting untuk lolos ke separuh akhir, Kelantan Warriors memperkemaskan aspek serangan dengan memasukkan apit kanan berpengalaman, Yuslie Jusoh, dan memperoleh kemenangan mudah 21-8 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Drama dalam set ketiga semakin menarik apabila Sabah Mountaineers membawa masuk pelibas negara, Hanafiah Dollah, namun Hisyam terus mengganas melalui servisnya untuk mendahului lawan 18-10.

Ternyata ketenangan membuahkan hasil buat skuad bimbingan Mohd Rozlan Ismail itu apabila servis terakhir yang dilakukan Hisyam terkena tangan apit kiri Sabah Mountaineers, Ambar, untuk meraih kemenangan 21-16.

Tekong utama, Hisyam, mengakui tekanan tinggi mempengaruhi prestasi Kelantan Warriors sehingga tewas dalam set pertama. 

"Tipulah kalau saya katakan tiada tekanan, cuma kami mula memperbaiki permainan untuk menang dalam set kedua dan ketiga.

"Terima kasih kepada semua penyokong Kelantan Warriors yang berdiri teguh di belakang kami," katanya.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen