Kelantan Warriors gagal dalam misi meraih kemenangan pertama dalam Piala Juara-Juara STL selepas tewas kepada KL Thunder dalam saingan Kumpulan A di Gem in Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Kemenangan ke atas lawan sama dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) sebelum ini bukanlah jaminan untuk Kelantan Warriors menang, sebaliknya KL Thunder lebih banyak mendominasi permainan yang berlanjutan sehingga ke set ketiga.

Trio KL Thunder, Amirul Zazwan Amir, Aizat Azmi dan Norhafizi Razak, bagaimanapun, berdepan saingan mantap Kelantan Warriors yang mengakibatkan mereka tewas set pertama 14-21.

Kelantan Warriors, yang dibarisi Aidil Aiman Azwawi, Hisyam Mat dan Naim Izani Noor, lebih ghairah untuk meneruskan rentak kemenangan dalam set kedua, namun dihampakan dengan kekalahan 13-21.

Kedudukan seri itu mengheret perlawanan ke set penentuan.

KL Thunder memaparkan semangat juang tinggi untuk mengekalkan penguasaan dalam set itu sebelum menundukkan Kelantan Warriors 21-10.