Saingan Piala Juara-Juara STL 2019 bakal menyaksikan aksi terunggul 10 pasukan tempatan dan jemputan antarabangsa berentap merebut kejuaraan yang memasuki musim ketiga tahun ini.

Dengan mengekalkan format regu yang sama, Piala Juara-Juara STL, yang akan membuka tirai bermula Ahad ini sehingga Sabtu depan menyaksikan studio terkemuka dunia, Iskandar Malaysia Studios, Johor Bahru menjadi medan pertarungan memburu pengikftirafan berkenaan.

Piala Juara-Juara STL kali ini pasti menjanjikan saingan lebih sengit dengan kehadiran empat pasukan dari negara-negara jiran.

Antara wakil kelab yang mengesahkan kehadiran ialah Indonesia Garuda (Indonesia), Singapore Lions (Singapura), China Great Wall (China) dan Korea Haechi (Korea Selatan).

Sementara itu, enam pasukan terbaik daripada Liga Perdana STL musim ini ialah Perak Bison (juara), ATM Guardians (naib juara), Johor Tigris (ketiga), Penang Black Panthers, Kelantan Warriors dan Negeri Sembilan Antlers.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay, berkata ini adalah kali kedua penyertaan melibatkan lebih banyak pasukan jemputan antarabangsa yang hadir berbanding edisi pertama pada 2017.

“Musim kedua tahun lalu, Piala Juara-Juara STL hanya membabitkan pasukan negara tetapi pada tahun ini, kami berjaya membawa lebih ramai jagoan takraw antarabangsa hadir menghangatkan lagi gelanggang.

“Inisiatif Astro dan PSM ini bukan saja memberi pendedahan serta meningkatkan mutu pemain tempatan, malah saya percaya taraf dan martabat sepak takraw melalui STL akan turut dibawa sehingga ke peringkat global.

“Tontonan STL di stadiumastro.com yang disiarkan secara 'live streaming' kepada peminat di luar negara telah mencatat jumlah tertinggi sebanyak 1.3 juta tontonan.

"Bukan saja di negara jiran, malah STL mendapat liputan meluas daripada media dari Norway yang membuat liputan mengenai sukan sepak takraw untuk saluran televisyen mereka.

"STL turut mendapat perhatian daripada media-media sosial antarabangsa yang berkongsi video aksi menarik STL di mata dunia,” katanya.

Sementara itu, Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, percaya dengan perlawanan antarabangsa seperti itu, ia dapat memberi pendedahan kepada pemain muda tempatan dalam usaha mematangkan lagi mutu permainan.

“Kami sentiasa melakukan penambahbaikan dalam setiap penganjuran dan aspek pembangunan pemain juga dititikberatkan dalam memberi pendedahan lebih kompetitif kepada pemain.

“Saya mengharapkan saingan selama tujuh hari berturut-turut ini akan berjalan lancar dan inilah masanya untuk pemain membuktikan kemampuan sebenar serta menjadi medan untuk mereka mempamerkan bakat,” katanya.

Biarpun tumpuan terarah kepada pasukan Indonesia, namun beliau optimis pasukan negara pasti memberikan tentangan sengit, terutama juara Liga Perdana STL musim ini, Perak Bison, serta lima pasukan yang lain.

Sementara itu, Penang Black Panthers juga akan turun dengan misi untuk mengekalkan kejuaraan buat kali kedua musim ini.

Keputusan undian:

Kumpulan A
Perak Bison
Kelantan Warriors
Negeri Sembilan Antlers
Korea Haechi
Singapore Lions

Kumpulan B
ATM Guardians
Penang Black Panthers
Johor Tigris
China Great Wall
Indonesia Garuda