Tenggelam dengan sorakan penyokong tuan rumah, ATM Guardians terpaksa membayar harga yang mahal apabila tumpas straight set kepada Johor Tigris dalam saingan Kumpulan B, Piala Juara-Juara STL di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru malam tadi.

Lantas, Guardians yang menurunkan dua pemain negara yang beraksi dalam Sukan SEA Filipina, Hairul Hazizi Haidzir dan Afifuddin Razali, dituntut kembali memperagakan aksi terbaik memburu kemenangan pertama ke atas pasukan undangan, Indonesia Garuda.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, mahu pemainnya bangkit segera membaiki segala kelemahan untuk berdepan ancaman pemain berpengalaman yang membarisi skuad Garuda.

"Sedikit mengecewakan apabila kami gagal memulakan saingan Kumpulan B dengan kemenangan.

"Lupakan kekalahan itu kerana kami perlu menghadapi aksi penting menentang Garuda yang dibarisi pemain kebangsaan Indonesia yang cukup berpengalaman.

"Mereka (Garuda) berada dalam motivasi terbaik apabila mendapat mata penuh dengan mengalahkan China Great Wall 2-0 malam tadi.

"Kami perlu berhati-hati dan mengukuhkan sistem pertahanan dan berharap Apih (Afifuddin Razali) mampu mengatasi apit kanan Garuda, Saiful Rijal," ujarnya.

Untuk rekod, Guardians muncul naib juara Piala Juara-Juara STL musim lalu apabila tumpas 1-2 kepada Penang Black Panthers dalam final.

Kredit foto: STL