Piala Juara-Juara STL: Guardians buru kemenangan pertama

Oleh Farizal Yusoff 23 Disember 2019 380
Piala Juara-Juara STL: Guardians buru kemenangan pertama
ATM Guardians mahu memburu kemenangan pertama dalam aksi yang dijangka sengit menentang tuan rumah, Johor Tigris, dalam saingan Kumpulan B, Piala Juara-Juara STL di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru, hari ini.

ATM Guardians yang menduduki tangga kedua dalam STL baru-baru ini, bakal menurunkan tekong negara, Hairul Hazizi Haidzir, pelibas kebangsaan, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Abdul Razak.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, mahu pemainnya membuka kempen kali ini dengan langkah kanan biarpun lawannya sudah mengecapi nikmat kemenangan apabila menumpaskan Indonesia Garuda 2-0 malam tadi.

"Semua pemain berada dalam keadaan terbaik untuk memulakan aksi pertama dan tentunya kita harapkan pengalaman dalam Sukan SEA menjadi bekalan berguna untuk Hairul (Haidzir) dan Apih (Afifuddin) mengharungi aksi ini.

"Kita kena berhati-hati dengan Tigris yang berjaya menunjukkan aksi mantap apabila mudah menumbangkan Garuda malam tadi," ujarnya.

Aswadi yang dipilih sebagai jurulatih terbaik STL musim ini, menyifatkan kualiti dan pengalaman yang dimiliki menjadi tunjang kekuatan kepada skuad kendalian bekas tekong kebangsaan, Ahmad Jais Baharom, itu.

"Mereka (Johor Tigris) mempertaruhkan kombinasi Farid Aziz yang cukup ampuh bila bergandingan dengan Noraizat Nordin dan kapten, Muqlis Borhan.

"Kami perlu sentiasa fokus dan tidak boleh terlalu jauh ketinggalan mata. Insya-Allah, dengan prestasi semasa pemain, kami mampu mengejutkan mereka," ujarnya.


Kredit foto: STL

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen