Penang Black Panthers di landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) apabila mudah menundukkan pendatang baru, China Great Wall, dalam aksi straight set hari ini.

Piala Juara-Juara edisi kali ini menampilkan empat pasukan dari luar negara dengan salah satunya pasukan dari Negara Tembok Besar itu turut merancakkan saingan.

Berdepan Black Panthers yang diperkuatkan Farhan Adam, Zarif Merican selaku tekong dan perejam, Azlan Alias, pastinya mahu mengubati kecewa gagal mempertahankan kejuaraan liga dengan beralih arah memburu gelaran keempat berturut-turut sejak 2016.

Aksi set pertama nyata berat sebelah dengan China yang dibimbing Guo Lipeng goyah dengan servis lemah dan sukar membaca kawalan gelanggang yang memberi ruang kepada Black Panthers terus menoktahkan kemenangan 21-10.

Skuad dari China itu cuba bangkit dan mula mendapat rentak dengan mengejar mata demi mata yang memberi kesukaran buat pemain lawan yang rata-rata mewakili skuad kebangsaan dalam set kedua.

Namun, tuah lebih memihak Black Panthers ketika terikat 20-20 sebelum menoktahkan cabaran Great Wall 25-23.

Keputusan lain:

PERAK BISON mn SINGAPURA LIONS 2-0 (21-8, 21-10)