Penang Black Panthers mempamer taring dengan menundukkan Melaka Titans 2-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, hari ini.

Black Panthers, yang memegang status juara Liga Perdana STL, tidak mengambil mudah cabaran juara Liga Divisyen Satu itu.

Oleh itu, mereka menurunkan trio terbaik yang ditunjangi tekong skuad kebangsaan, Syahir Rosdi, bagi memastikan langkah kanan dalam kejohanan yang julung kali diadakan itu.

Keputusan Black Panthers yang enggan memandang rendah keupayaan lawan harus dipuji apabila mempamer permainan berkualiti sekalipun dilihat memimpin perlawanan sejak awal.

Perancangan mereka untuk menamatkan perlawanan lebih awal berjaya selepas meraih kemenangan 21-10, 21-19.

Sementara itu, perlawanan Kumpulan B pula menyaksikan naib juara Liga Perdana STL, Kuala Lumpur Thunder, menewaskan pasukan Divisyen Satu, PDRM Defenders, 22-21, 21-10.

Keserasian trio Kuala Lumpur yang dibarisi Zulkifli Razak, Amirul Zazwan dan Hafiz Rahman nyata berkesan sekalipun mendapat tentangan sengit sehingga kedudukan terikat 20-20 dalam set pertama.

Rejaman daripada Hafiz memastikan pasukannya meraih mata terakhir bagi memenangi set itu.

Dalam set kedua, Kuala Lumpur jelas memperagakan permainan lebih kemas bagi mengelak tekanan itu berulang, sekali gus mudah mengatasi lawan.

Kelantan Warriors pula gagal dalam perlawanan pertama mereka bertemu dengan pasukan dari Thailand, Manang City, apabila tewas 8-21, 12-21.