Penang Black Panthers mencipta sejarah apabila muncul juara Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) selepas menewaskan Perak Bison 21-15, 21-15 di Stadium Tertutup MBSJ, Serdang Jaya, sebentar tadi.

Kejayaan itu merupakan yang kedua buat Black Panthers selepas berjaya mempertahankan gelaran Liga Premier yang dimenangi musim lalu.

Black Panthers memiliki kelebihan dengan membariskan pemain kebangsaan, Syahir Rosdi selaku tekong, manakala Farhan Adam dan Azlan Alias beraksi sebagai apit kiri dan kanan dalam misi mencipta sejarah untuk menjuarai Piala Juara-Juara STL.

Kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan yang berkualiti dengan meraih mata demi mata, namun servis Syahir muncul pemisah dengan meraih mata buat Black Panthers memenangi set pertama, 21-15.

Bersambung dalam set kedua, Bison gagal memberikan saingan kepada Black Panther,s sekaligus membenarkan mereka meraih kemenangan dalam set kedua 21-15.

Sementara itu, dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, wakil Thailand, Manang City Voyagers, mencipta kemenangan straight set ke atas Kelantan Warriors.

Selepas tewas dalam aksi separuh akhir, Warriors dan Voyagers memasang impian untuk menamatkan musim dalam kelompok tiga terbaik untuk edisi sulung Piala STL.

Menurunkan Hisyam Mat (tekong), dibantu oleh Aiman Azwawi dan Naim Izani Noor, Warriors bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik selepas dihujani libasan bertenaga oleh Tanapon Sapyen serta servis padu daripada Nattawut Naewprom yang menyumbang mata buat Voyagers hingga berjaya mencipta kemenangan 21-15.

Dalam set kedua, anak buah Baharil Anuar Che Mat kembali menyusun gerakan tetapi gagal memberikan impak dan peluang itu diambil oleh Voyagers untuk mengasak dan mencipta kemenangan 21-8, sekaligus meraih tempat ketiga kejohanan.