Pemain Perak Bison diharap tidak bersikap terlalu yakin apabila turun bertemu Johor Tigris dalam separuh akhir Piala Juara-Juara STL di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru malam ini.

Walaupun Bison mengekalkan rekod tanpa kalah dalam pusingan awal, jurulatihnya, Ismi Hissan Ismail, mengingatkan anak buahnya agar berhati-hati.

"Jangan terlalu yakin kerana saya bimbang akan memakan diri

"Ini perlawanan berbeza kerana sudah memasuki separuh akhir.

"Di peringkat ini, suasananya berbeza.

"Tambahan kami akan bertemu pasukan tuan rumah dan mereka pasti memiliki kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri.

"Pemain Bison pernah mengalami pengalaman beraksi di gelanggang sendiri ketika STL minggu ketujuh dan kelapan di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

"Harapan saya agar pemain akan bermain seperti biasa walaupun menghadapi tekanan daripada penyokong," katanya.

Jurulatih itu berkata apa yang pasti dia tidak akan melakukan sebarang percubaan seperti yang dilakukan dalam tiga perlawanan awal, yang menyaksikan Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin, Azwan Muhrim dan Fadil Mustapha memulakan perlawanan sebelum digantikan Natthawut Naewprom dan Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi.