Piala Juara-Juara STL: ATM mudah benam Kelantan

Oleh Ammar Hakim 2 Mac 2021 517
Piala Juara-Juara STL: ATM mudah benam Kelantan
ATM Guardians melakar kemenangan mudah ke atas Kelantan Warriors dalam saingan Piala Juara-Juara STL, sebentar tadi.

Saingan yang ditunggu-tunggu kembali tiba, Piala Juara-Juara STL bersambung selepas ia dihentikan seketika ekoran penularan wabak Covid-19 di seluruh Malaysia.

Dalam saingan yang dianjurkan di Iskandar Malaysia Studios, Johor Bahru, ATM yang dibarisi Hairul Hazizi selaku tekong dan digandingkan bersama Afifuddin Razali (perejam) serta Norfaizzul Razak (feeder).

ATM tidak berdepan tentangan yang sengit daripada Kelantan, selepas deretan dikutip menerusi servis Hazizi dan Afifuddin sebelum merakamkan kemenangan 21-11 bagi set pertama.

Skrip yang sama berlaku dalam set kedua, ATM tampil lebih cemerlang dengan memenangi 21-9.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Tetapi apa yang boleh katakan adalah permainan dalam perlawanan ini masih lagi tidak dapat menterjemahkan permainan terbaik namun kemenangan memihak kami," kata Hazizi.

"Kami memerlukan kemenangan straight set ketika bertemu Penang Black Panthers selepas ini. Mereka dijangka akan memberikan tentangan namun kami akan cuba yang terbaik."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen