Sedar saingan hebat dalam Kumpulan B, Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL), ATM Guardians tidak mahu meletakkan harapan tinggi, sebaliknya ingin layak ke separuh akhir dalam kejohanan yang akan berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya, bermula petang esok.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, menyifatkan Kumpulan B yang dihuni Perak Bison, Johor Tigris dan juara Division 1, Negeri Sembilan Antlers, sebagai saingan yang cukup mencabar dan hanya pasukan yang berjaya mempersembahkan aksi terbaik mampu lolos ke separuh akhir.

"Semua akan dapat saksikan pertembungan menarik keempat-empat regu dalam Kumpulan B. Saingan menjadi lebih menarik kerana ada pasukan bakal menampilkan pemain import dari Thailand.

"ATM Guardians tidak banyak melakukan perubahan dan percaya kepada semua pemain yang muncul naib juara STL baru-baru ini. Cuma, saya senaraikan apit kanan, Asrie Isa, yang baru pulih daripada kecederaan bagi membantu pasukan," katanya.

Aswadi yang dipilih sebagai jurulatih terbaik STL musim ini juga mengesahkan pemainnya tidak menghadapi sebarang masalah kecederaan sambil berharap mereka dapat mengatasi lawan dalam aksi pembukaan.

"Alhamdulillah, semua pemain cergas sepenuhnya dan kita harap mereka akan beraksi seperti biasa.

"Doakan kejayaan memihak kepada kami dalam aksi sulung menentang Negeri Sembilan Antlers."