Piala Juara-Juara STL: ATM Guardians jumpa Black Panthers dalam final

Oleh Farizal Yusoff 15 Disember 2018 3166
Piala Juara-Juara STL: ATM Guardians jumpa Black Panthers dalam final
ATM Guardians menepati status pasukan pilihan apabila mara ke final selepas menumpaskan Kelantan Warriors 2-1 (21-10, 14-21,  21-10) dalam saingan separuh akhir Piala Juara-Juara STL di Gem In Mall, sebentar tadi.

ATM Guardians, yang mara ke separuh akhir selepas menjuarai Kumpulan B, membuat kejutan menyenaraikan tekong muda, Mohd Najmi Najib, untuk bergandingan dengan apit kanan, Khairudin Adenan dan Norfaizzul Razak. Tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, tetap disenaraikan di bangku simpanan.

Kelantan Warriors pula yang menikmati minggu terbaik apabila muncul naib juara Kumpulan A hasil persembahan mantap, mengekalkan tekong berpengalaman, Hisyam Mat, Naim Izani Noor dan apit kiri negara, Aidil Aiman Zawawi.

Dalam set pertama, ATM Guardians jelas bertenaga melalui variasi servis Najmi untuk mendahului 9-3 sambil ketua jurulatih Kelantan Warriors , Mohd Rozlan  Ismail meminta 'time-out' untuk merancang semula strategi permainan.

Kelantan Warriors masih gagal bangkit, menyebabkan Rozlan membawa masuk Farid Aziz dan Yuslie Jusoh untuk cuba memberi saingan.

Najmi sekali lagi muncul wira pasukan apabila dua servis terakhirnya gagal dikawal pertahanan Kelantan Warriors untuk menang 21-10 dalam masa 15 minit sahaja.

Kelantan Warriors cuba bangkit dalam set kedua melalui servis kencang tekong gantian, Farid, sambil dibantu libasan kencang Yuslie untuk membolehkan mereka mendahului 12-8 sambil ketua jurulatih ATM Guardians,  Aswadi Abdullah, meminta 'time out'.

Hairul Hazizi pula dibawa masuk menggantikan Najmi untuk mengubah corak serangan dan strategi itu menjadi apabila ATM Guardians mula mengejar mata 13-19.

Kelantan Warriors terus menekan pertahanan ATM Guardians dan melalui tandukan tajam Yuslie, mereka menang 21-14 bagi mengheret permainan ke set penentuan.

Dalam set ketiga, variasi servis Hairul Hazizi dan libasan kencang Khairudin membawa ATM Guardians selesa mendahului 9-2 sebelum Rozlan kembali memasukkan Hisyam.

Pertahanan Kelantan Warriors semakin longgar apabila diasak ATM Guardians dan Hairul Hazizi terus membuktikan kehebatan melalui servis kencangnya untuk membolehkan mereka menang 21-10. 

Hairul Hazizi bersyukur dengan kemenangan itu dan menyifatkan semangat tidak mudah mengalah menjadi rahsia kejayaan mereka.

"Alhamdulillah, kami bangkit semula selepas kalah set kedua.

"Mungkin, kami berjaya mengambil kesempatan untuk menang set penentuan selepas Kelantan Warriors kurang menjadi," katanya 

Terdahulu, juara bertahan, Penang Black Panthers, menepati ramalan awal apabila mara ke final apabila mengalahkan Negeri Sembilan Antlers 2-0 (21-19, 21-17).
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen