ATM Guardians mara ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B selepas menumpaskan Perak Bison 2-1 (11-21 21-16, 21-19) dalam saingan akhir peringkat kumpulan Piala Juara-Juara STL di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

ATM Guardians yang belum pernah kalah membuat kejutan menyenaraikan tekong, Mohd Najmi Najib, untuk bergandingan dengan Muhaimi Che Bongsu dan Adli Bakar.

Perak Bison yang sudah tersingkir kerana mengalami dua kekalahan berturut-turut pula menurunkan Yus Hanif Rosli (tekong), Azwan Muhrim (apit kiri) dan Firdaus Muhammad (pelibas).

Dalam set pertama, Perak Bison jelas bertenaga melalui variasi servis daripada Yus Hanif untuk mendahului 10-3 sambil ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, meminta 'time-out' untuk merancang semula strategi.

Yus Hanif sekali lagi muncul wira pasukan apabila dua servis akhirnya gagal dikawal pertahanan ATM Guardians untuk menang 21-11 dalam masa 16.

ATM Guardians cuba bangkit dalam set kedua, namun beberapa kesilapan mudah menyebabkan mereka ketingalan 2-5 sambil ketua jurulatih, Aswadi Abdullah, membawa masuk apit kiri berpengalaman, Norfaizzul Razak dan mengeluarkan Adli.

Khairuddin Adenan pula dibawa masuk untuk mengubah corak serangan dan strategi itu menjadi apabila ATM Guardians mula mengejar mata 12-13.

ATM Guardians terus menekan pertahanan Perak Bison melalui servis kencang Najmi untuk mengungguli set kedua 21-16 bagi mengheret permainan ke set penentuan.

Dalam set ketiga, variasi servis Yus Hanif dan libasan kencang Firdaus membawa Perak Bison selesa mendahului 12-5.

Namun, semangat melawan ATM Guardians jelas terserlah apabila terus mengejar mata demi mata dan libasan akhir Khairudin memberikan kemenangan 21-19.

Apit kanan ATM Guardians, Khairudin, jelas bersyukur dengan kemenangan itu dan menyifatkan semangat tidak mudah mengalah menjadi rahsia kejayaan mereka.

"Alhamdulillah, kami bangkit semula selepas tewas dalam set pertama.

"Kami memperbaiki segala kelemahan yang ada dan mula menguasai gelanggang untuk memenangi dua set berikutnya," katanya

Untuk rekod, ATM Guardians dan Negeri Sembilan Antlers layak ke separuh akhir dari Kumpulan B.

Johor Tigris di tangga ketiga dengan dua mata dan Perak Bison tercorot tanpa sebarang mata.