Selepas muncul juara Kumpulan B dengan merekodkan tiga kemenangan berturut-turut, ada berita yang kurang menggembirakan daripada kem ATM Guardians menjelang aksi separuh akhir menentang Kelantan Warriors dalam saingan Piala Juara-Juara STL di Gem In Mall, Cyberjaya, Sabtu ini.

Keadaan tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, yang masih bercuti rehat akibat tekanan darah rendah cukup meresahkan naib juara Liga Sepak Takraw (STL) itu.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, enggan menjadikan tahap kesihatan pemainnya sebagai isu besar, sebaliknya mahukan pemain sedia ada terus memberikan fokus menjelang aksi penting itu.

"Hairul (Hazizi) masih bercuti dan sedang menjalani rawatan pemulihan.

"Begitu juga dengan apit kanan, Asrie Isa, yang mengalami sedikit kecederaan dan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

"Namun, saya mengingatkan pemain lain supaya sentiasa bersedia dan berharap pasukan kami mampu pulih sepenuhnya biarpun sedang bergelut dengan masa," katanya.

Ditanya mengenai prestasi Kelantan Warriors yang semakin meningkat sepanjang kejohanan itu, Aswadi yang baru ditabalkan jurulatih terbaik STL, mengakui perkara itu sambil menyifatkan mereka dalam prestasi terbaik, terutama selepas mengejutkan juara bertahan, Penang Black Panthers.

"Mereka cukup bermotivasi apabila lolos ke separuh akhir dengan menyingkirkan pasukan pilihan, KL Thunder dan Sabah Mountaineers.

"Prestasi tekong utama mereka, Hisyam Mat, semakin meningkat dan kami perlu berhati-hati dengan variasi servisnya.

"Kombinasi mantap di antara Aidil Aiman dan Naim Izani juga tidak boleh dipertikaikan.

"Ini pertemuan kali ketiga kami musim ini.

"Biarpun kami memenangi kedua-dua aksi terdahulu, namun pertarungan kali ini pasti sengit," katanya.