Selepas sekadar menduduki tangga keenam Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, Negeri Sembilan Antlers melaungkan amaran mahu bangkit dengan menumpaskan Kelantan Warriors dalam aksi pembukaan Piala Juara-Juara STL di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru petang ini.

Tekong utama Antlers, Hisyam Mat, yakin prestasi terbaik yang ditunjukkan semua pemain dalam sesi latihan menjelang saingan kali ini mampu diterjemahkan di dalam gelanggang.

"Alhamdulillah, pemain cukup bersemangat untuk menebus kembali kegagalan menduduki empat tempat terbaik dalam carta liga musim ini.

"Rezeki masih berpihak kepada kami kerana dapat beraksi dalam saingan Piala Juara-Juara. Kami sedar semua pasukan sudah melakukan persiapan terbaik untuk memburu kejuaraan untuk edisi kali ini," katanya.

Hisyam yang menjulang Warriors menduduki tempat keempat saingan Piala Juara-Juara musim lalu, menganggap pasukan lamanya sebagai pilihan bagi memenangi aksi pembukaan Kumpulan A petang ini.

"Kami turun sebagai pasukan bukan pilihan dan tekanan sudah pasti beralih kepada Warriors yang mengikat tekong negara (Aizat Azmi) baru-baru ini.

"Namun, Antlers tidak mudah menyerah kalah dan kami akan kuatkan benteng pertahanan untuk mencipta kejutan petang ini," ujarnya.

Untuk rekod, Antlers muncul pemenang tempat ketiga Piala Juara-Juara STL musim lalu apabila menumpaskan Warriors 2-0.