Apit kiri Kelantan Warriors, Aidil Aiman Azwawi, bertekad mengerah prestasi terbaiknya untuk membantu pasukan itu mara sekurang-kurangnya sehingga ke separuh akhir Piala Juara-Juara, Liga Sepak Takraw (STL) yang akan bermula esok.

Pemain berusia 21 tahun itu menganggap ia boleh direalisasikan meskipun Kelantan Warriors berdepan laluan berliku setelah diundi bersama juara STL Premier, Penang Black Panthers, KL Thunder dan naib juara STL Divisyen Satu, Sabah Mountaineers, dalam Kumpulan A.

“Kami gagal menunjukkan satu prestasi yang konsisten dalam STL Premier, tidak berada pada prestasi terbaik dan tenggelam dengan jangkaan tinggi. Jadi, harapan saya dalam Piala Juara-Juara STL ini, semua pemain Kelantan Warriors termasuk saya sendiri, akan bangkit menunjukkan permainan sebenar serta kerjasama sepasukan yang tinggi.

“Tahun lalu kami layak ke separuh akhir sebelum tewas kepada Penang Black Panthers, jadi seboleh-bolehnya kami perlu mengulangi pencapaian tersebut dan ia akan menjadi satu penutup yang memuaskan,” kata Aidil.

Ditanya pendapatnya mengenai kekuatan pencabar di dalam Kumpulan A, Aidil menjelaskan: “Kami tewas kepada Penang Black Panthers dua kali dan menang sekali ke atas KL Thunder dalam STL Premier baru-baru ini, jadi pada saya kualiti yang ada pada kedua-dua pasukan itu adalah seimbang.

"Mereka mungkin menjadi pilihan tetapi jika menggandakan usaha, kami yakin boleh menyaingi sesiapa sahaja. Hanya Sabah Mountaineers belum boleh diduga kerana kami belum pernah bertemu tetapi saya pasti jurulatih sudah mengkaji cara permainan pasukan itu.”

Mengenai prestasinya, anak jati Kota Bharu itu berjanji memperbaiki prestasi permainannya dan tampil lebih bertenaga.

“Secara peribadi, saya belum berpuas hati kerana permainan sendiri belum mencapai tahap memuaskan. Saya perlu membuat latihan individu tambahan, perkuatkan aspek pertahanan dan balingan supaya kembali berada dalam keadaan terbaik,” jelasnya.

Kelantan akan membuka kempen Piala Juara-Juara STL dengan menentang KL Thunder pada Jumaat, Penang Black Panthers pada Sabtu dan disusuli Sabah Mountaineers pada Ahad.


Saksikan STL 2018 setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad jam 5.00 petang hingga 9.00 malam serta siaran langsung setiap perlawanan di twitter @astroarena sementara analisis STL 2018 setiap Rabu jam 10.30 malam di Astro Arena Saluran 801, 802HD, NJOI Prepaid, Astro GO dan NJOI Now.