Perak Bison terpaksa ketepi Azwan

Oleh Azizan Hashim 14 Disember 2019 3104
Perak Bison terpaksa ketepi Azwan
Juara Liga Perdana STL, Perak Bison, terpaksa mengetepikan apit kiri, Azwan Muhrim, bagi menghadapi kempen Trofi Juara-juara di Johor Bahru mulai 22 Disember ini. 

Azwan yang menjadi anggota penting dalam skuad STL musim ini terpaksa diketepikan kerana hanya lima pemain boleh didaftarkan oleh setiap pasukan. 

Bison sebaliknya memilih Muhamad Asyraaf Abdul Hadi selaku apit kiri sambil mengekalkan dua tekong, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin dan Natthawut Naewprom, serta dua apit kanan, Amirul Ramadhan Fadzillah Suhaimi dan Muhammad Fadzil Mustapa. 

"Kami tiada pilihan kerana hanya boleh mendaftarkan lima pemain," katanya.

"Memang ia keputusan sukar (menggugurkan Azwan) kerana dia pemain yang berwibawa. 

"Apakan daya, kami mahu kuatkan serangan, jadi terpaksa guna dua perejam," kata pengurus pasukan, Mohd Jaffrey Mohd Zainol. 

Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Negeri Perak (PERSEDAR) berkata selaku juara STL, Perak Bison menggalas tugas berat. 

"Kami punyai tugas berat dalam kejohanan yang turut disertai pasukan jemputan dari negara-negara ASEAN ini. 

"Semoga barisan pemain yang dipertanggungjawabkan akan menggalas tugas sebaik-baiknya untuk menampilkan persembahan terbaik," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen