Perak Bison turun dengan misi wajib menang menentang Johor Tigris dan Selangor Piston dalam perlawanan minggu keenam Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Tertutup Serdang Jaya (MPSJ), Selangor.

Menurut ketua jurulatih, Ismi Hissan Ismail, pasukannya tidak boleh tercicir mata ketika kejohanan berbaki empat perlawanan sahaja lagi.

"Perak berkongsi kedudukan keempat bersama ATM Guardians dan Kelantan Warriors.

"Oleh itu, saya mahu pemain fokus. Kita tidak boleh mengharapkan keputusan perlawanan lain jika mahu mencipta kejutan dalam penyertaan sulung Liga Perdana STL. Inilah masanya," ujar Ismi.

Dalam pusingan pertama, Perak Bison menjinakkan Johor Tigris 2-1 manakala tewas 0-2 kepada Selangor Piston.

"Johor pasukan lawan yang sukar manakala ketika bertemu Selangor, nasib tidak menyebelahi kami. Saya harap selepas rehat dua minggu, Perak kembali fokus mencari kemenangan."

Selain mencari kedudukan terbaik dalam liga, Perak Bison turut mengintai slot untuk beraksi dalam Piala Juara STL 2017 yang membabitkan tiga pasukan jemputan antarabangsa, iaitu Korea, Thailand dan Indonesia.