Walaupun sudah mengesahkan kejuaraan musim ini, Penang Black Panthers tidak mengambil mudah baki perlawanan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini apabila menewaskan ATM Guardians 21-19, 17-21, 21-12 di Dewan MBSJ, Serdang Jaya, hari ini.

Black Panthers, yang dibarisi Fazil Asri, Mohd Azlan Alias dan Zaim Razali, menerima tentangan hebat ATM yang menurunkan Nor Faizzul Razak, Hairul Hazizi dan Afifuddin Razali.

Perlawanan bermula sengit dengan kedua-dua pasukan saling mengutip mata, sebelum Black Panthers akhirnya menamatkan set pertama 21-19.

Selepas itu, ATM berjaya mengimbangi perlawanan setelah memenangi set kedua 21-17, sebelum Black Panthers bangkit untuk mudah mengatasi lawan 21-12.

Sementara itu, Kuala Lumpur Thunder mendapat suntikan semangat apabila berjaya memenangi kedua-dua perlawanan minggu keenam ini.

Mereka menewaskan pasukan yang hampir pasti tersingkir daripada Liga Premier, Johor Tigris, 21-14, 14-21, 21-16, selepas menumbangkan Terengganu Turtles, kelmarin.

Terdahulu, Perak Bison menundukkan Selangor Pistons 21-4, 16-21, 21-12 dalam aksi pada sebelah petang.