Kejayaan menjuarai musim ketiga saingan Liga Sepak Takraw (STL) memberi motivasi tambahan buat pasukan Penang Black Panthers untuk menghadapi Kejohanan Piala Emas Khir Johari, bulan depan.

Black Panthers menjadi pasukan terbaik dalam saingan STL musim ini selepas menewaskan Kuala Lumpur Thunder dengan kemenangan straight set dalam perlawanan akhir.

Sambil menyifatkan Black Panthers mempunyai disiplin tinggi serta kerjasama yang kukuh, pengurus pasukan, Jeffary Abdul Malik, menyasarkan lebih banyak kejayaan.

Jeffary turut menganggap kehadiran tekong kebangsaan, Syahir Rosdi, memberi impak yang cukup besar terhadap kekuatan pasukan Penang Black Panthers.

Ia terbukti apabila Syahir dipilih sebagai tekong terbaik di samping muncul Pemain Paling Bernilai musim ini.

"Memang Shahir adalah teraju utama pasukan tapi dalam masa yang sama, dia tertekan kerana orang tahu dia adalah tekong nombor satu Malaysia.

"Jadi dia perlu kekalkan prestasi persembahannya," ujar Jeffary.

Dalam pada itu, apit kiri Black Panthers, Muhammad Zaim Razali, bersyukur apabila penyertaan kali ketiganya dalam saingan STL akhirnya dibalas dengan kejuaraan.

Jelasnya lagi, persiapan yang cukup rapi oleh Black Panthers memastikan kejayaan mereka musim ini.

Ia termasuklah penilaian semula aksi setiap perlawanan menerusi rakaman video.

"Persiapan yang dibuat jurulatih memang cukup teliti.

"Kami mengkaji aksi-aksi pihak lawan dari segi taktik dan gaya permainan mereka untuk mengambil kesempatan di atas kelemahan pihak lawan.

"Selain itu, rakaman video juga membantu kami mempertingkatkan tahap permainan kami," kata Zaim.