Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, mengesahkan hanya rombakan kecil dibuat dalam skuad negara selepas mengadakan sesi pemilihan khas pemain selama tiga hari.

Seramai 48 pemain dijemput dalam sesi pemilihan yang berakhir semalam, di mana hanya 30 pemain akan disenaraipendekkan sebelum memutuskan senarai 24 pemain.

PSM telah menerima senarai nama tersebut dengan pembentangan akan dilakukan dalam Mesyuarat Exco PSM dalam masa terdekat sebelum menghadapi Piala Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di Hyderabad, India, November depan.

"Kami ada dua senarai nama yang diberi kepada PSM dan pengurusan PSM melihat nama yang diberi itu lebih kurang sama di mana pemilihannya tidak tepat. Satu atau dua sahaja berbeza.

"Kami akan bawa kedua-dua senarai nama itu ke Mesyuarat Exco PSM dalam waktu terdekat, kalau boleh dalam minggu ini juga," katanya.

Dalam pada itu, bermula tahun hadapan, barisan pemain negara bakal berdepan kem latihan komando selama tiga bulan di venue yang akan ditetapkan nanti.

Kem latihan seumpama itu julung kali diadakan untuk skuad negara bagi menguji ketahanan fizikal masing-masing dengan lebih berkesan.

"Bermula pada bulan Januari, semua anak-anak (pemain) kita akan diserapkan ke kem tentera komando untuk berlatih bagi memperkuatkan otot dan kecergasan selama tiga bulan.

"Mereka pada dasarnya semua bersetuju untuk menunjukkan satu komitmen yang tinggi. Semua akan membotakkan kepala seolah-olah mereka ini adalah rekrut askar," katanya.