Penang Panthers kembali menghuni tangga kedua carta mata Liga Sepak Takraw (STL) 2016 selepas mudah menjinakkan Johor Tigris 21-12, 21-15 di Stadium MPSJ, hari ini.

Regu Mohd. Helmi Ismail yang kehilangan posisi itu kepada Kedah Eagles, yang bermain lebih awal, turut melangkah selesa dengan ketiadaan tekong dan apit kanan tonggak Tigris, Haidzir Rashid dan Saifulrudin Khalid.

Panthers kini mengumpul lapan mata, terikat semula dengan Eagles, tetapi mempunyai jurang set menang lebih baik, enam berbalas satu apabila lawan turut kalah kepada ATM Guardians, semalam.

Tigris pula terpaksa menampilkan pemain bidan terjun, Safwah Wahab dan Noor Rizal Jaafar, di posisi itu, namun masih memiliki apit kanan kebangsaannya, Norhaffizi Razak, yang masih cuba memberikan tentangan sedaya-upaya mereka.

Terdahulu, pertembungan dua tekong Malaysia di antara Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi dan Sahidan Md. Ali yang diharapkan hebat, meleset sama-sekali apabila Kuala Lumpur Thunder mudah mengatasi Melaka Titans 21-13, 21-12.

Mengapit Aizat dalam Thunder ialah perejam Hafiz Rahman yang kemudian digantikan Zamree Dahan dan Amirul Zazwan Amir manakala Sahidan diapit pelibas baharu, Shelpul Saad dan Zarlizan Zakaria.

"Kami mencuba tekong Fazil Asri pada set kedua (bertukar dengan Syahir Rosdi) supaya membiasakannya dengan lebih banyak suasana perlawanan, begitu juga pengumpan, Zaim Razali, kali ini.

"Memang rentak lawan jauh berbeza kerana tanpa tonggak tetapi kami tidak mengambil mudah perlawanan ini untuk terus merampas tempat kedua liga dan mencabar pendahulu, Terengganu Turtles," kata pengurus Panthers, Jeffary Malek.

Kata lawan sejawatan, Mohamad Adam, "Dua tonggak kami menghadapi masalah keluarga yang tidak dapat dielakkan tetapi pemain-pemain sudah berusaha sebaik mungkin. Inilah sahaja regu yang dapat dipertaruhkan apabila seorang lagi apit kiri, Lutfil Hadi, menduduki peperiksaan prauniversiti," katanya.

KEPUTUSAN Ekspres Perdana STL 2016


Ahad (6 November 2016):

Melaka Titans kk Kuala Lumpur Thunder 0-2 (13-21, 12-21)
Johor Tigris kk Penang Black Panthers 0-2 (12-21, 15-21)