Perasaan sayu menyelubungi perejam negara, Norhafizi Abd Razak, yang buat kali pertama tidak dapat menyertai adiknya, Nor Faizul Abdul Razak, pulang ke kampung halaman di Batu Pahat, Johor kerana tuntutan kerja berkhidmat sebagai barisan hadapan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Meskipun dua beradik itu berbeza pakaian seragam dengan Hafizi sebagai anggota polis sambil Faizul berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), secara tidak langsung mereka sama-sama berkhidmat sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, persaan Hafizi lebih terkesan apabila berkhidmat di kawasan berisiko dengan jangkitan wabak berkenaan tatkala rakyat Malaysia menyambut Syawal.

"Bukan saya seorang, mungkin ramai yang bersedih beraya dalam waktu begini. Ramai yang terkandas di bandar. Memang sedih, rasa sebak," katanya.

Kedua-dua beradik itu juga turut menyimpan perasaan agar saingan Liga Sepak Takraw (STL) dapat kembali tahun ini dengan harapan berentap antara satu sama lain di dalam gelanggang meskipun berlainan pasukan.

"Memang termenung. Baju raya tidak akan beli bila sudah tahu akan beraya di sini dan tidak bersama keluarga. Ia tidak boleh dijangka, ini kali pertama berlaku. Ada berhubung dengan keluarga dan memang sedih," ujar Faizul.

"Saya bila dalam gelanggang, saya tidak anggap dia abang tetapi musuh. Namun, di luar gelanggang, kami adik-beradik. Lawan tetap lawan, menang kalah adat permainan."