Saingan Liga Sepak Takraw (STL) bakal kembali esok, perejam Johor Tigris, Noraizat Nordin tekad kembali mempamerkan aksi cemerlang selepas ditimpa kemalangan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP) di hampir seluruh negara dikuatkuasakan.

Noraizat antara pemain yang mencuri tumpuan dalam saingan STL musim ini, libasan kencang serta gelagat di gelanggang ketika bertemu KL Thunder sebelum ini berjaya menarik perhatian ramai.

Bagaimanapun, perejam itu dijangka akan berehat panjang selepas menerima sembilan jahitan di tapak tangan gara-gara mengalami kemalangan motosikal Oktober lalu, sekali gus perlu mencari semula rentak dan momentum sebaik kembali beraksi dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL).

Dua bulan telah berlalu, pemain berusia 21 tahun itu ini telah pulih dan gembira untuk sekali lagi beraksi bersama Johor.

"Sudah lama tidak beraksi, latihan juga berjalan dengan lancar. Terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki dan saya telah menemui semula momentum beraksi bersama pasukan.

"Saya kini sudah 100 peratus sudah kembali pulih dan boleh beraksi. Kemalangan yang ditimpa ini memiliki hikmahnya selepas saingan STL telah ditangguh ekoran PKPB dan ia telah memberikan peluang kepada saya pulih dan rezeki untuk terus bersaing bersama pasukan."

Johor Tigris akan kembali ke gelanggang dengan bertemu Negeri Sembilan Antlers esok.