Juara bertahan, Kelantan, bangkit daripada kekalahan 1-0 kepada Johor untuk mengalahkan Persatuan Sukan dan Kebudayaan Kementerian Pendidikan Malaysia (MESCA) 3-0 dalam acara bola sepak senior Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (MSKPPM) Ke-45 di Padang Kolej Vokasional Ampang, Paroi, Negeri Sembilan, petang tadi.

Kelantan memulakan aksi dengan menyerang kubu pertahanan lawan untuk menjaringkan gol pembukaan, malangnya benteng pertahanan MESCA kental bertahan.

Kelantan mendapatkan gol pembukaan melalui gerakan cantik pemain tengah, Sadlee Hussin Ala, yang disudahkan penyerang, Wan Azman Wan Deris, pada minit ke-15.

Sepuluh minit kemudian, Kelantan mendapatkan gol kedua melalui gerakan solo pemain lincah, Harizan Hamid, yang berjaya mengatasi perangkap ofsaid MESCA.

Kelantan terus mengganas dan Sadlee berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-40 untuk skuad Pantai Timur ini selesa mendahului 3-0.

Dalam aksi separuh masa kedua, MESCA cuba menyerang mencari gol sagu hati, malangnya benteng pertahanan Kelantan yang diketuai Khairan Eroza Razali, kental menyerap asakan.

Pengurus Kelantan, Mohd Eriszarizi Mohd Deris, berpuas hati dengan persembahan anak buahnya sambil menyifatkan dua gol awal berjaya membunuh semangat pemain MESCA.