MOM usah rampas kuasa persatuan -- Ahmad Ismail 

Oleh Shaiful Shamsudin 16 Februari 2021 418
MOM usah rampas kuasa persatuan -- Ahmad Ismail 
Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menerusi Presiden, Datuk Ahmad Ismail, menyeru Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi penjelasan terhadap keputusan untuk hanya menyenaraikan atlet B-23 ke Sukan SEA Hanoi, hujung tahun ini. 

Ketika ditemu bual wartawan, Muiz Aziz, di Bukit Jalil hari ini, Ahmad mengakui hampa dengan keputusan MOM yang dilabel drastik dan kurang bijak, lebih-lebih lagi temasya akan berlangsung kurang dari 10 bulan. 

"Kami mendapati ada ura-ura bahawa MOM dalam masa terdekat akan buat satu keputusan yang cukup drastik dengan memaksa semua atlet yang akan ke Sukan SEA bagi mewakili negara bukan MOM -- nama Malaysia yang akan dibawa -- hanya terdiri daripada atlet-atlet berumur bawah 23 tahun.

"(Menteri Belia dan Sukan) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican begitu bersusah payah bersungguh-sungguh memajukan sukan. 

"Andai katalah keputusan ini adalah satu keputusan (yang muktamad), ia tidak baik bagi saya, separuh masak dan siapa yang akan dipersalahkan (kelak). 

"Tidak adil apabila hanya beberapa persatuan yang sudah bersedia sedangkan yang lain tidak. Ingat, kami juga ada ahli gabungan, kami perlu dapatkan pandangan mereka. 

"Saya masih ingat lagi pertemuan tersebut, saya tidak nampak mereka serius dan mereka kata hanya mengambil pandangan sahaja, maka kami berikan (pandangan).

"Tetapi kalau kami tahu keputusannya sudah dibuat, pendekatan kami tentu akan jauh berbeza, kami akan lebih serius untuk pertahankan dan bawa butiran yang lebih terperinci," katanya dalam sidang media.

Beliau beranggapan ia satu langkah yang tidak tepat dan boleh memberi ruang kepada sesetengah persatuan untuk mencipta alasan bahawa ia adalah pentas pendedahan.

"Sekiranya ada 1-2 persatuan yang berasakan atlet mereka tidak boleh kemana-mana, payah dapat pingat dah maka ia boleh dijadikan alasan apabila tidak mendapat pingat dengan berkata 'oh ini program kita, memang Malaysia tidak harapkan pingat'.

"Tidak adil buat kami, tidak adil untuk atlet, apa yang terjadi dengan pelaburan yang kerajaan ke atas mereka.

"(Apa akan terjadi) kalau anda (atlet) tahu apabila diserap ke skuad kebangsaan kemudian selepas umur 23 tahun akan dihambat keluar? Berlatih bersungguh-sungguh tinggalkan keluarga, kadang-kadang pelajaran, perlu pandai agih masa tapi umur 23 tahun tidak boleh main dah. 

"Ini gila apa? Maaf saya bukan berdendam tapi berterus-terang. 

"Jangan lupa, ahli sukan berapa ramai. Kalau ambil mereka yang terpaksa digugurkan atas alasan yang belum tiba waktunya lagi, keluarga mereka marah tak? Kawan-kawan marah tak? Ada kesannya, orang politik sila fikir jauh. (Boleh jadi) keluarga mereka tak undi (anda) esok.

"Saya akan sokong, saya akan yakinkan ahli gabungan kalau boleh MOM boleh yakinkan Persekutuan Sukan SEA bahawa semua peserta Sukan SEA mestilah bawa atlet 23 tahun, ia adalah adil," katanya lagi. 





Ia jelas berbeza kerana bagi PSM, mereka dari awal lagi sepakat untuk menggandingkan pemain senior dan pelapis.

Badan peneraju sepak takraw negara itu menganggap mereka masih mempunyai hak untuk pemilihan atlet sekiranya MOM bertegas dengan pendirian berkenaan. 

"Saya tidak tahu mereka kena ubah undang-undang atau tidak. 

"Setakat ini persatuan kebangsaan yang masih akan menandatangani borang penyertaan atlet. 

"Adakah kuasa ini juga hendak dirampas oleh MOM? Jangan, MOM pun ada pertandingan beberapa tahun sekali -- (saya) peringatkan sahaja bukan pasal apa, kadang-kadang kita terlajak,terlupa. 

"Maklumlah orang hujung usia muda ini pengalaman sikit sahaja, kalau mereka buat 'lagu tu' tidak patut sangat. 

"Beerti mereka tidak menghormati PSM. Lebih baik keluar undang-undang di parlimen, tidak ada persatuan dan semuanya MOM pegang, mereka buat semua. 

"Mereka patut tanya diri sendiri, mereka ada kuasa, hak inikah? Mereka hanya boleh nasihat, bincang dan beri pandangan persatuan (dalam menentukan) atlet yang akan pergi (bertanding)."


Bulan Mac ni kita teruskan semula saingan STL Champions Cup, jadi ayuh teruskan sokongan anda buat pasukan-pasukan anda @stl.my

Posted by Astro Arena on Tuesday, February 16, 2021
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen