Misi Perak cari mata

Oleh Penulis Jemputan 6 September 2017 495
Misi Perak cari mata
Ketua pasukan Perak, Mohamad Azrull Yaakob, menyeru rakan sepasukan untuk mempamerkan kebolehan dan aksi terbaik dalam Kejohanan Sepaktakraw Kebangsaan Grand Prix (GP) 2017 di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Keramat, Kuala Lumpur dari 8 hingga 10 September ini.

Pemain apit kanan itu, yang sudah lebih lima tahun bersama Perak, yakin skuad yang ada kini adalah antara yang terbaik pernah dikumpulkan.

"Tahun lalu, kami berjaya menjadi salah satu pasukan ke sirkit akhir dan tidak mustahi, keputusan lebih baik boleh dicapai tahun ini.

"Walaupun dalam sirkit pertama kami tidak begitu menyerlah, saya yakin segala kelemahan telah diperbaiki, malah skuad yang akan ke MSN akan diperkuatkan lagi dengan kehadiran tekong kebangsaan, Meor Mohd Zulfikar Mat Amin, dan pemain senior, Hafiz Zulkifli.

"Saya yakin mata akan dapat dicari di sini (sirkit kedua)," kata Azrull.

Dia juga berpendapat percaturan kali ini lebih menarik apabila skuadnya turut diperkuatkan pemain muda Perak dari skuad sepaktakraw Sukan Malaysia (Sukma) negeri.

Tahun lalu, Perak tewas di peringkat kumpulan dalam sirkit akhir kepada Terengganu dan Pulau Pinang.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen