Meor tekad bantu Perak atasi KL Thunder

Oleh Ammar Hakim 23 September 2020 423
Meor tekad bantu Perak atasi KL Thunder
Tekong Perak Bison, Meor Zulfikar, tekad untuk mempamerkan aksi terbaik ketika berdepan KL Thunder menjelang aksi minggu kedua Liga Sepak Takraw (STL) Sabtu ini.

Selepas meraih dua kemenangan daripada tiga perlawanan dalam minggu pertama, Perak Bison kini menghuni tangga ketiga di belakang KL Thunder dan Johor Tigris, masing-masing mengharungi dua kemenangan daripada dua perlawanan.

Penyandang juara, Perak bakal menghadapi tugas getir bagi minggu kedua STL -- bakal berdepan pasukan pilihan musim 2020, KL Thunder, yang dibarisi antara pemain ternama selepas Syahir Rosdi dan Azlan Alias.

Dengan meletakkan sasaran untuk mempertahankan kejuaraan, Meor menjelaskan dia sudah bersedia untuk bertarung dan mempamerkan permainan terbaik ketika bertemu KL nanti.

"KL Thunder terdiri daripada tiga pemain kebangsaan dan ia menyaksikan kami perlu berusaha untuk mengatasi mereka daripada sudut pertahanan dan menyerang," kata Meor menerusi rancangan PM bersama AM. 

"Saya sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan yang dianggap sukar sebegini, ia merupakan misi saya untuk mempertahankan kejuaraan bersama Perak musim ini dan berdepan KL Thunder, kami perlu mendapatkan kemenangan."

Meor turut menegaskan permainan pertahanan mereka harus dipertingkatkan, selepas tewas 2-1 ketika berdepan Johor sebelum ini.

"Kekalahan kami kepada Johor berpunca daripada segi pertahanan kami. Tekong pasukan lawan gagal diserap Perak sementara lambat untuk membaca gerakan lawan. Sejujurnya mereka mempamerkan aksi yang lebih cemerlang dalam perlawanan tersebut."



Pemain berusia 24 tahun itu turut berkongsikan pengalamannya menghadapi aksi pertama ketika perlawanan Piala Sumbangsih berdepan Selangor Pistons, dia berkata, "Agak gementar bagi perlawanan pertama selepas musim ini tergendala ekoran Covid-19 namun tetap dahaga kembali ke gelanggang dan hasilnya terpapar ketika aksi berdepan Selangor.

"Dalam perlawanan tersebut, perancangan kami berhasil apabila berjaya menggugat permainan bertahan pasukan Selangor, seperti yang dapat disaksikan, mereka dibarisi pemain yang berpengalaman namun perancangan kami berhasil dalam perlawanan itu."

"Ketika bertemu Perak pula, permainan bertahan Perak agak goyah, membenarkan mereka mengutip mata dan beberapa kesilapan menyaksikan kami diheret ke set penentuan."

Saksikan saingan STL minggu kedua secara langsung di Astro Arena HD saluran 802 dan youtube Astro Arena.
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen