Debaran Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) semakin dirasai apabila pasukan Kuala Lumpur Thunder bakal membuka saingan 10 Januari ini dengan momentum baik selepas hanya tewas dua kali dalam dua aksi terakhir saingan liga.

Bagi kapten Kuala Lumpur, Azlan Alias, menjelaskan bahawa mereka tetap waspada ancaman semua pasukan yang bakal dalam saingan tersebut.

"Bagi saingan Piala Juara-Juara, kami memberikan tumpuan kepada sesi latihan. Lapan pasukan yang beraksi kali ini akan memberikan tentangan yang sama rata. Kami tidak memandang rendah mana-mana kemampuan lawan, turun ke gelanggang, kami perlu fokus," kata Azlan.

Sebelum ini, Kuala Lumpur berjaya membuktikan status mereka sebagai pasukan pilihan apabila muncul juara Liga STL 2020 bagi saingan Liga Perdana.

Bagaimanapun, ia situasi berbeza bagi juara bertahan Piala Juara-Juara 2019, Johor Tigris yang hanya mampu meraih tempat ketiga dalam saingan liga.

Kapten Johor, Muqlis Borhan, beranggappan Piala Juara-Juara ini sebagai pentas penebus kekecewaan mereka dengan misi untuk mempertahankan gelaran tersebut apatah lagi bakal beraksi di laman sendiri iaitu di Johor.

"Kuala Lumpur dan ATM Guardians memiliki kelebihan tetapi Johor tetap akan memberikan yang terbaik untuk mengekalkan kejuaraan. Kami perlu mempertingkatkan mutu permainan bagi memastikan dapat mengatasi pencabar," katanya.