Kuala Krai pertahan Kejohanan B-14 MSSK

Oleh Farizal Yusoff 10 November 2017 256
 Kuala Krai pertahan Kejohanan B-14 MSSK
Juara bertahan, Kuala Krai A, menepati ramalan apabila mudah mengalahkan regu Tanah Merah A dalam final bawah 14 tahun (B-14) Kejohanan Sepak Takraw Luar Musim Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK) di Wisma Sukan, Jalan Telipot, Kota Bharu, petang tadi.

Kuala Krai A, yang menurunkan Mohd Fitri Aiman Adnan sebagai tekong, Mohd Azzril Iqmal Jamsani (apit kanan) dan Shahrul Ezlan Hamid (apit kiri) jelas berada dalam kelas tersendiri apabila mudah memenangi set pertama 21-12.

Pasukan Tanah Merah yang cuba mencari kejuaraan berganda selepas memenangi kategori B-11, petang semalam, menurunkan Wan Muhammad Kamarul Hauzad  Wan Jusoh, Mohd Syafiq Masrun dan Amirul Nizam Che Rohimi cuba bangkit mencari kemenangan dalam set kedua.

Mereka bermula baik untuk mendahului 12-10 sebelum servis kuda tekong Kuala Krai A, Mohd Fitri Aiman, jelas menjadi untuk mengucar-ngacirkan pertahanan Tanah Merah A. Selepas 25 minit bertarung, Kuala Krai A mengesahkan kemenangan 21-14 melalui libasan kencang, Mohd Azzril Iqmal.

Pengerusi Teknik Sepak Takraw Kuala Krai, Zaiddi Ismail, memuji persembahan anak buahnya dan berharap mereka mampu mengekalkan prestasi terbaik menjelang kejohanan peringkat negeri, Februari depan.

“Alhamdulillah. Tahniah kepada pemain Kuala Krai yang jelas beraksi lebih baik untuk mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut.

“Terima kasih juga kepada barisan jurulatih yang bekerja keras menyediakan regu yang mantap bagi menyertai kejohanan kali ini,” katanya.

Terdahulu, dalam laluan ke perlawanan akhir, Kuala Krai A menyingkirkan Pasir Mas C 21-14, 21-15, manakala Tanah Merah A menumpaskan Machang B, 2-0 (21-14, 21-18).

Penyelaras Sukan Unit Sukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mazlan Omar, menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Keputusan penuh:

Kategori B-10

Johan: Jeli A
Naib Johan: Kota Bharu A

Kategori B-11
Johan: Tanah Merah A
Naib Johan: Kuala Krai A

Kategori B-14
Johan: Kuala Krai A
Naib Johan: Tanah Merah A

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen