Kota Bharu kuasai sepak takraw Kelantan

Oleh Farizal Yusoff 19 November 2017 470
Kota Bharu kuasai sepak takraw Kelantan
Kota Bharu mengesahkan statusnya sebagai kuasa utama sepak takraw Kelantan apabila menyapu bersih kategori senior dan veteran dalam Kejohanan Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Kelantan (PSKPPK) di Wisma Sukan Majlis Sukan Negeri MSN, Jalan Telipot, petang semalam.

Turun sebagai pasukan pilihan dengan himpunan pemain terbaik Kelantan, Kota Bharu berjaya mengalahkan juara bertahan, Jeli, 2-0 (21-18, 25-24) dalam aksi kategori senior yang mendebarkan.

Regu Kota Bharu yang diwakili tekong berpengalaman, Shamsul Nordin, Shamsuri Ismail, Rosli Che Wil dan Suhairi Nordin turun dengan penuh bersemangat untuk membalas dendam lama apabila menang set pertama 21-18.

Bagaimanapun, dalam set kedua, Jeli berjaya memberi tekanan sehingga kedudukan mata terikat 20-20.

Lebih mendebarkan, tekong utama Kota Bharu, Shamsul, terpaksa dikeluarkan akibat kekejangan otot dan digantikan adiknya, Suhairi.

Jeli hampir di ambang kemenangan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun pada kedudukan 24-24, libasan kencang apit kanannya, Shamsul Bahari Abdul Manaf, berjaya diangkat ketua pasukan, Rosli, yang berjaya mengumpan kepada perejam, Shamsuri bagi mendapatkan mata kemenangan 25-24, sekali gus memastikan Kota Bharu menjulang kejuaraan.

Terdahulu, dalam kategori veteran, Kota Bharu A dan B diisytiharkan juara bersama apabila kedua-dua pasukan bertemu sesama sendiri di pentas final.

Kota Bharu A yang diwakili  tekong, Mohd Zaimi M Aboo Jubar, Wan Mohd Zil, Mohd Zainuddin Ismail dan Zairullah Yusuf berjaya menyingkirkan Pasir Mas A 2-0 (21-16, 21-15) dalam masa 40 minit.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir, Kota Bharu B yang menurunkan Baderin Hashim, Abd. Razak Adahan, Zahidi Musa dan Mohd Romzi Yusoff mengalahkan regu Pasir Mas B 2-0 (21-14, 21-16).

Pengelola Pendidikan Kanan Sukan PPD Kota Bharu, Nik Kamal Raja Hassan, berpuas hati dengan kemenangan ini sambil menyifatkan latihan yang konsisten dan pengurusan skuad yang terbaik menjadi formula utama mengapa Kota Bharu berjaya mengungguli kejohanan kali ini.

Beliau juga berharap pemainnya yang bakal dipilih menyertai kontinjen sepak takraw Kelantan ke Kejohanan Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia di Negeri Sembilan, bulan depan, terus meningkatkan prestasi permainan.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen