Koronavirus: ASTAF bakal tukar venue Kejohanan Asia

Oleh Penulis Jemputan 29 Januari 2020 522
Koronavirus: ASTAF bakal tukar venue Kejohanan Asia
Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) enggan mengambil risiko meneruskan Kejohanan Sepak Takraw Asia yang sepatutnya berlangsung di Yunan, China, Mei ini setelah situasi di negara itu makin tidak stabil gara-gara wabak koronavirus.

Kejohanan Sepak Takraw Asia akan berlangsung empat bulan lagi, namun tiada jaminan daripada pihak penganjur bahawa keadaan akan beransur pulih di China susulan penularan wabak berkenaan.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader, mengesahkan venue akan diubah dan tiga negara berada dalam senarai untuk menganjurkan kejohanan itu, antaranya Indonesia, Singapura dan Pakistan.

Begitu juga baki tiga lagi kejohanan yang berada dalam kalendar Persekutan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) membabitkan negara China akan turut digantikan dengan negara lain.

"Jika kejohanan tidak dapat dianjurkan di negara China, kami akan memberikan ruang kepada negara seperti Malaysia, India dan Singapura untuk menjadi tuan rumah kejohanan," kata Halim.

Halim turut berada dalam dilema setelah Pakistan menghantar surat bantahan agar tidak menerima sementara barisan pemain dari China beraksi untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi mengelak wabak itu menular.

"Saya juga khuatir kerana negara-negara yang menyertai kejohanan tersebut berkemungkinan menarik diri. Kami akan berbincang di peringkat ISTAF di Bangkok, Thailand dalam masa terdekat terhadap wabak yang menular di China."


Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen