Kidal bertemu kanan jadi tarikan aksi Turtles-Panthers

Oleh Staff Writer 10 November 2016 27
Kidal bertemu kanan jadi tarikan aksi Turtles-Panthers
Penang Panthers pasti mendapat lebih tumpuan malam esok apabila mencabar Terengganu Turtles yang masih menerajui carta mata Liga Sepak Takraw (STL) 2016 selepas mengharungi enam perlawanan tanpa kalah.

Memiliki gandingan lengkap pemain negara di semua posisi, malah seorang apit kanan simpanan, Kamal Ishak, menuntut regu bimbingan Mohd Helmi Ismail turut menanggung tekanan untuk menepati status itu. 

Namun, Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Suhairi Sulaiman yang masih segar dengan prestasi memuncak dalam Piala Raja Thailand bulan lalu tetap ibarat buku bertemu ruas kerana Turtles juga diperkuatkan dua pemain skuad sama.

'Perang tekong kidal dengan kanan' di antara Syahir dan Irsyad Faiz Aziz juga bakal ditunggu-tunggu di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, malam esok selain pertembungan udara dua perejam terbaik STL sekarang, Fadzli Roslan dan Azlan.

Posisi apit kiri juga tidak kurang hebatnya apabila Azwan Muhrim yang juga digelar 'Der' digalaskan harapan Turtles untuk menyusun pertahanan dan mencorakkan serangan seperti mana peranan yang didukung oleh Suhairi atau 'Ceri'.

Percaturan di luar gelanggang tidak kurang mendapat perhatian di antara Vitthaya Boontha, jurulatih dari Thailand yang bersama Turtles, menghadapi Panthers yang diterajui bekas pelibas naib juara Piala Dunia 2011, Helmi.

"Masing-masing ada kelebihan dan kami kerap bertemu lawan sebelum ini, malah pernah berlatih bersama dalam skuad negara. Mereka cukup mengenali kami, begitu juga kami. Kedua-dua pasukan pun membuat persediaan dan latihan rapi.

"Kita tengok sajalah di gelanggang pada hari perlawanan. Jika keadaan memerlukan, mungkin strategi jurulatih akan turut memainkan peranan yang mampu mempengaruhi keputusannya," kata apit kanan yang juga perejam gulung kidal Turtles, Fadzli.

Jadual STL:

Esok:
ATM Guardians lwn KL Thunder (8 malam)
Penang Panthers lwn Terengganu Turtles (9.30 malam).

Sabtu:
KL Thunder lwn Johor Tigris (4 petang)
Penang Panthers lwn Melaka Titans (5.30 petang).

Ahad:
Terengganu Turtles lwn Kedah Eagles (4 petang).
ATM Guardians lwn Kelantan Warriors (5.30 petang)

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen