Harapan Johor Tigris untuk meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu, Terengganu Turtles, musnah apabila tewas 1-2 (16-21, 21-13, 15-21) dalam saingan pusingan kedua Liga Sepak Takraw (STL) 2016 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, petang semalam.

Jurulatih Johor Tigris, Jamaluddin Hassan, menyifatkan kekalahan tersebut disebabkan pemain melakukan kesilapan mudah yang banyak memberi mata kepada Terengganu Turtles.

“Selepas menang set kedua 21-13, pemain begitu bersemangat untuk cuba menjadi pasukan pertama menang ke atas Terengganu Turtles.

"Malangnya, dalam set penentuan, beberapa kesilapan mudah daripada servis tekong dan rejaman Hafizi (Norhafizi Abdul Razak) yang kurang menjadi menyebabkan hasrat Johor Tigris tertangguh.

“Namun, secara keseluruhannya prestasi pemain lebih baik berbanding semasa kami kalah dalam pusingan pertama menentang Terengganu Turtles tempoh hari,” katanya.

Jamaluddin, yang juga bekas jurulatih kebangsaan, percaya jika pemainnya dapat menunjukkan prestasi sebegini (menentang Terengganu Turtles) sudah pasti harapan untuk memungut mata penuh menentang ATM Guardians akan tercapai petang ini.

“Satu lagi perlawanan yang sukar untuk Johor Tigris tetapi saya percaya jika kami mampu beraksi pada tahap sebenar, harapan untuk memungut mata penuh akan tercapai.

“Insya-Allah untuk perlawanan kedua menentang ATM Guardians, kami akan beraksi lebih baik dan memastikan dapat memungut mata penuh untuk keluar daripada zon bahaya saingan STL,” katanya.

Dalam saingan semalam, Johor Tigris mempertaruhkan gandingan Norhafizi Abdul Razak (apit kanan), Haidzir Rashid (tekong) dan Luftil Hadi Azmi (apit kiri), tetapi mendapati gandingan Terengganu Turtles terlalu ampuh untuk ditumbangkan.

Kekalahan kepada pendahulu STL itu menyaksikan Johor Tigris sekadar berada di tempat keenam carta liga dengan enam mata daripada lapan perlawanan dan terdesak memerlukan kemenangan menentang ATM Guardians, untuk meningkatkan motivasi pemain.