Kestar DB juara sepak takraw Karnival Sukan Rakyat Terengganu

Oleh Staff Writer 28 November 2016 8
Kestar DB juara sepak takraw Karnival Sukan Rakyat Terengganu
Kelab Sepak Takraw Durian Burung (Kestar DB) muncul juara sepak takraw Karnival Sukan Rakyat Terengganu (SUKRA) 2016 selepas menewaskan Gastep dalam aksi final di Sekolah Sukan Terengganu, Gong Badak, kelmarin.

Regu Kestar DB, Mohd Sukri Mat Amin, Mohd Afiq Mat Amin dan Mohd Ridzuan Che Rashid, mengetepikan cabaran sengit Maliki Mubi, Mohd Lokman Hakim dan Tuan Safri Tuan Mahmud, 21-13, 21-15.

“Saingan cukup sengit pada kejohanan kali ini terutama di peringkat suku akhir sehingga ke pentas final, di mana regu kami diberi tentangan hebat.

“Malah semua pasukan yang bertanding, beraksi sejak pagi dan dua pasukan yang mara ke final agak keletihan. Jadi, kami mengambil kesempatan dengan memberikan persembahan terbaik.

“Regu yang dipertaruhkan agak berpengalaman dan kami pernah bergelar juara dan naib juara pada beberapa kejohanan dalam negeri. Kejuaraan kali ini adalah satu bonus kerana sasaran hanya untuk mara ke separuh akhir,” kata pengurus pasukan itu, Zaidi Omar.

Pasukan dari Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu itu mengetepikan cabaran 23 pasukan lain untuk bergelar juara, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil, manakala Gastep selaku naib juara memenangi RM600 berserta sijil.

Kestar DB yang bergiat aktif sejak 1993 adalah kelab berdaftar dengan Persatuan Sepak Takraw Terengganu.

Seramai 20 pemain beraksi di bawah nama kelab itu terdiri daripada pemain berusia 13 tahun hingga kategori veteran.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen