Kesepakatan MOM, PSM legakan Talib

Oleh Ammar Hakim 19 Februari 2021 71
Kesepakatan MOM, PSM legakan Talib
Pengarah Teknikal Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Abdul Talib Ahmad, lega kata sepakat dapat dicapai antara majikannya dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam usaha untuk membentuk garapan muda dan lama menjelang Sukan SEA Vietnam 2021.

Pembentukan regu yang dibarisi adunan pemain senior dan remaja mampu hasilkan keputusan yang lebih efektif berbanding menghantar keseluruhan pemain muda yang tiada pengalaman di peringkat antarabangsa.

Apatah lagi takraw adalah antara lubuk pingat buat kontinjen Malaysia, dan sebarang keputusan yang negatif pasti akan bawa musibah buat badan induk itu.

"Apa yang membimbangkan saya atlet-atlet muda berdepan gugup sekaligus menjatuhkan semangat mereka untuk menghadapi saingan antarabangsa yang lain," kata Talib.

Ketika ini, daripada 15 orang pemain yang terdapat skuad elit negara, empat daripadanya merupakan pemain berusia bawah 23 tahun terdiri daripada Noraizat Nordin, Shahalril Aiman, Faisal Fuad serta Zarif Merican.

Dalam masa sama, nasib bekas tekong negara, Syahir Rosdi untuk kembali menyarung jersi Malaysia hanya akan ditentukan selepas tamat saingan Piala Juara-Juara STL bulan depan.

"Gabungan regu itu penting kerana sepak takraw adalah permainan yang bersifat kemahiran terbuka."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen