Bekas pengurus pasukan Penang Black Panthers, Abdul Hafiz Abdul Majid, menegaskan dia tidak pernah menghasut mana-mana pemain untuk turut sama angkat kaki daripada pasukan itu setelah tidak berpuas hati dengan pihak atasan mereka.

Abdul Hafiz membuat keputusan drastik untuk meletakkan jawatannya semalam setelah tidak dapat mencapai kata sepakat dengan Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang (PESENANG) berhubung percaturan pemain dalam Liga Sepak Takraw (STL).

Ia susulan pemecatan mengejut yang dilakukan PESENANG terhadap dua jurulatih, Helmi Ismail dan Fazil Asri, biarpun Black Panthers sedang memimpin carta STL.

Tindakan itu menyebabkan dua pemain import dari Thailand, Purached Yodsaen dan Aekkasit Naephom, selain Zaim Razali dan Amir Syahiran Fuzi, turut mengundurkan diri daripada pasukan itu.

"Kenapa dua jurulatih saya dipecat sedangkan kedudukan kami (dalam STL) masih di atas?

"Maksudnya, strategi dan perancangan kami berjaya.

"Jika pasukan yang dipimpin saya tidak boleh menunjukkan prestasi yang bagus dan ada campur tangan daripada pihak pengurusan, saya tiada masalah," katanya.

Black Panthers tetap akan meneruskan saingan dalam STL dengan baki empat pemain yang diketuai perejam, Azlan Alias.

Namun, segala keputusan selepas ini akan ditentukan oleh PESENANG dalam memburu kejuaraan liga buat kali keempat berturut-turut.

"Saya sebagai pengurus memang sedih sebab kerana kami sedang berada di atas dan perjuangan kami adalah untuk meraih kejuaraan buat kali keempat.

"Tetapi berbalik kepada situasi ini, saya tidak boleh meneruskan perjuangan dengan campur tangan (orang) di belakang.

"Dan benda itu bukanlah sesuatu yang dibincangkan," tambahnya.

Dalam pada itu, usaha Nadi Arena untuk menghubungi Presiden PESENANG, Datuk Seri Ahmad Ismail, yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), berakhir dengan kegagalan.